Home Utama Kontraktor kelas F semakin daif

Kontraktor kelas F semakin daif

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion bercakap di sidang media Persatuan Kontraktor Kelas F Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 19 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) hari ini mendesak kerajaan membela nasib 24,000 kontraktor seluruh negara yang semakin daif.

Presidennya, Tukiman Radion mendakwa isu itu pernah dibangkitkan dua tahun lalu tetapi masih dipandang sepi.

Beliau mendakwa selain kesukaran mendapat kontrak, ada banyak isu melibatkan kontraktor kelas F yang tidak ditangani seperti pengagihan projek secara berkomputer dan kewujudan pihak konsesi.

Masalah-masalah ini tidak termasuk had nilai projek berjumlah RM200,000 yang tidak berubah sejak 16 tahun lalu walaupun kos bahan binaan semakin meningkat.

“Isu ini pernah kami bangkitkan pada 2016 tetapi tidak ada tindakan susulan daripada kerajaan, seolah-olah kami dipinggirkan. Jadi kita minta kerajaan lihatlah pada nasib kami. Kami pun warga negara Malaysia, mana lagi kami nak pergi?

“Kita pun sudah lama bincang dengan Kementerian Kerja Raya tetapi (mungkin) ada kekangan menyebabkan pihak kementerian tidak dapat melaksanakan perkara ini. Ada juga di antara kementerian-kementerian yang kita tulis surat dua, tiga kali pun tidak mahu berjumpa,” katanya pada sidang media.

Hadir sama Timbalan Presiden PERKOBF, Ismail Awang Ahmad dan Naib Presiden, Sazali Mohd Yasin.

Tukiman turut meminta nilai projek bagi setiap kaki persegi projek rumah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang diberikan kepada kontraktor kelas F dinaikkan kepada RM80 hingga RM100 berbanding RM60 sahaja sekarang.

Penilaian yang rendah itu menyebabkan para kontraktor kelas F semakin tertekan, ditambah dengan peningkatan kos hidup.

Jelasnya, bayaran yang rendah turut menjejaskan kualiti hasil bangunan kerana kontraktor tidak dapat mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberi pertimbangan terhadap permasalahan yang membelenggu kontraktor kelas F dan memberi situasi menang-menang. – MalaysiaGazette