KUALA LUMPUR – Penyanyi rap kontroversi Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee menuding jari dengan menyalahkan media yang didakwanya memutarbelitkan videonya di Youtube baru-baru ini.

Menerusi rakaman di Facebook, Namawee membuat penjelasan  laporan berita yang disiarkan media mengenai klip video bertemakan anjing itu punca salah faham kepada banyak pihak.

Malah, salah faham itu, dakwanya mengakibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu mengeluarkan arahan supaya dirinya dikenakan tindakan tegas.

“Oleh kerana terdapat pelbagai kesalahan dan kesalahan dalam kandungan berita tersebut. Pihak media yang lain juga telah melaporkan berita yang tidak benar dan sekaligus telah menyebabkan banyak salah faham.

“Oleh itu saya harus keluar untuk membuat penjelasan. Saya harap semua pihak akan mendengar penjelasan saya ini dengan teliti,” katanya menerusi rakaman itu.

Dalam rakaman tersebut, bekas pelajar sebuah universiti di Taiwan itu menggariskan lima perkara iaitu penggunaan kostum anjing pada video berkenaan adalah disebabkan masyarakat Cina meraikan Tahun Baru kali ini bertemakan haiwan tersebut yang mengikut lunar pada kalendar.

Katanya, bunyi salakan anjing itu mungkin dirasakan tidak senonoh namun ia hanyalah sekadar hiburan sahaja.

Perkara kedua yang cuba ditegakkan oleh penyanyi rap itu ialah penggambaran lagu itu tidak dilakukan di kawasan Masjid Putra di Putrajaya, sebaliknya ia dibuat di satu kawasan lapang yang berlatar belakangkan Pejabat Perdana Menteri yang terletak lebih kurang satu kilometer daripada kawasan video itu dirakam.

Menguatkan alasannya itu Namawee turut berkata, pemilihan Putrajaya sebagai destinasi rakaman berkenaan adalah kerana kawasan pusat pentadbiran kerajaan itu mempunyai pemandangan yang cantik dan tidak terlalu sibuk.

Dia turut memberitahu, dirinya telah dianiaya berikutan penggunaan perkataan ‘Oh My God’ pada lagu yang pernah disiarkan sebelum ini.

Namawee turut menegaskan, bahawa dia tidak sesekali mewakili mana-mana parti politik terutama pembangkang meskipun dia mengenali ramai kakitangan dalam jabatan kerajaan berikutan dirinya merupakan seorang seniman.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menghina mana-mana agama ataupun bangsa terutamanya Islam.

“Saya mempunyai rasa cinta yang mendalam pada negara Malaysia. Tolong pihak media berhenti mencemarkan nama saya lagi dan menuduh saya menghina mana-mana agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Namawee tak mungkin terlepas daripada tindakan