Home Utama Institusi Diraja masih kekal relevan – Tengku Abdullah

Institusi Diraja masih kekal relevan – Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN – Peranan institusi diraja sebagai simbol perpaduan dan pencetus semangat nasionalisme serta patriotisme masih relevan di negara ini yang mempunyai kepelbagaian politik, sosial dan ekonomi, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Baginda bertitah peranan institusi itu semakin relevan ketika negara berdepan dengan pelbagai ancaman globalisasi melalui penyebaran teori modenisasi dan demokrasi ala barat yang menyebabkan berlaku pertembungan dengan nilai jati diri negara.

“Dalam konteks ini adalah bertepatan bagi (institusi) Raja Berperlembagaan berperanan sebagai mekanisme penyatuan kepada kepelbagaian budaya, agama serta penangkis kepada ancaman kemakmuran serta keamanan negara.”

“Selain itu, keunikan negara kita turut memerlukan satu institusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihat dan memberi buah pandangan.”

“Jika tiada institusi seperti ini, maka kesepaduan dan patriotisme serta kesetiaan kepada negara, lama-kelamaan akan terhakis,” titah baginda pada Majlis Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Titah baginda apabila keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan rakyat tergugat, raja-raja turut berperanan untuk menegur, menasihat dan mencari jalan penyelesaian.

“Ini terbukti selepas pilihan raya umum 2008 apabila berlaku krisis perlembagaan berhubung pelantikan menteri besar di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu telah berjaya diselesaikan menerusi kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintah.”

“Sebenarnya kewibawaan Raja Berperlembagaan menegur dan memberi pandangan ini adalah menepati ciri konsep ?constructive patriotism’ yang dipelopori oleh Robert Schatz dan Erwin Staub dalam buku mereka yang berjudul ‘Manifestations of Blind and Constructive Patriotism’.”

“Teori ini menjelaskan bahawa kewibawaan menegur dan memberi pandangan datang daripada perasaan cinta yang tinggi kepada negara, justeru seorang patriotik yang konstruktif akan mempersoal dan mengkiritik untuk membawa perubahan positif kepada negara,” titah baginda.

Titah Tengku Abdullah, raja berfungsi menjadi payung negara, pelindung rakyat jelata, penjaga kemakmuran negara dan penjamin masa depan negara serta pendamai persengketaan.

“Seorang raja berhak menegur dan mengutarakan pendapat sekiranya identiti negara telah tergelincir atau cuba digelincirkan daripada landasan yang betul sehingga menggugat kesejahteraan negara,” titah baginda.

Pada masa yang sama Tengku Abdullah menyarankan kerajaan memperkemas sistem demokrasi berparlimen di negara ini dengan membaiki kelemahan yang ada agar sesuai dengan peredaran masa. – MalaysiaGazette