Home Politik Kerajaan Sabah beri jaminan pastikan kestabilan politik

Kerajaan Sabah beri jaminan pastikan kestabilan politik

Tan Sri Musa Aman
Musa Aman

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memberi jaminan akan terus komited untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial di negeri ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha mempertahan dan mengukuhkan aspek-aspek positif supaya rakyat terus mendapat manfaat di sebuah negara yang sentiasa berusaha ke arah memperbaiki kehidupan serta mengekalkan keharmonian dan kestabilan.

“Oleh itu, apa-apa tindakan yang boleh memberi kesan negatif kepada perpaduan dan kestabilan harus dielakkan untuk membolehkan kita mencapai aspirasi, meningkatkan tahap sosioekonomi dan memberi tumpuan kepada usaha membawa lebih banyak kemajuan ke negeri ini,” katanya.

Musa berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Pesta Ang Pow anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada FCAS untuk menjalankan aktiviti pada masa hadapan.

Musa berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengetepikan rakyat mana-mana agama atau etnik tertentu dalam melaksanakan program pembangunan, malah bekerja untuk semua dan pada setiap tahun memperuntukkan sejumlah besar dana bagi sekolah-sekolah bukan Islam dan tempat beribadat.

“Buktinya kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM300 juta kepada sekolah-sekolah bukan Islam dan tempat beribadat di Sabah sejak 10 tahun lepas.

“Semasa mula-mula menjadi ketua menteri dulu, saya mendapati peruntukan untuk sekolah-sekolah bukan Islam dan tempat beribadat hanya RM1.5 juta?saya rasa peruntukan itu tidak mencukupi oleh itu saya telah naikkan peruntukan berkenaan kepada RM30 juta setahun,” katanya.

Musa berkata, peruntukan tersebut disalurkan kerana kerajaan sentiasa peka kepada keperluan setiap kaum di negeri ini yang hidup dalam semangat perpaduan sejak sekian lama.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua masyarakat Cina di Sabah supaya terus berdiri teguh di belakang kerajaan dan membantu kerajaan dalam usaha membangunkan lagi negeri ini. – MalaysiaGazette