Foto Instagram Nedim.

KUALA LUMPUR – Aktres Nora Danish kini hanya menunggu masa untuk melahirkan anak keduanya sepanjang minggu ini iaitu lebih awal daripada jangkaan sebenar.

Mengikut perkiraan doktor, wanita berusia 35 tahun itu dijangka bersalin pada 9 Mac depan.

Berita gembira tersebut dikongsikan suaminya, Nedim Nazri menerusi akaun Instagram miliknya pada status yang turut memuatkan gambar kenduri doa selamat, malam tadi.

“Doa selamat buat isteri tercinta & Ney Ney (nama timangan untuk bayi dalam kandungan). Insya-Allah agar selamat melahirkan kandungan pada minggu ini,” katanya.

Turut hadir, sekumpulan pelajar tahfiz yang diundang ke majlis yang diadakan di kediaman pasangan terbabit.

Bekas mentua Nora, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Tan Sri Ramli Ngah Talib turut kelihatan.

Pada masa sama, walau dalam debaran menanti kehadiran ‘orang baharu’, Nora sempat memaklumkan anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 9, tidak sabar bertemu dengan si kecil.

Dia juga membalas komen mereka yang memberikan kata-kata semangat dan mendoakan dirinya dipermudahkan sepanjang urusan bersalin serta berpantang nanti.

“Anak lelaki saya yang berusia sembilan tahun tidak sabar menunggu Ney Ney,” katanya.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan seorang anak lelaki.

Sementara itu, beliau juga tidak mampu menyembunyikan rasa teruja menerima barangan berupa set berpantang apabila memuatnaik hadiah itu menerusi Insta Story. – MalaysiaGazette