SPRM Jabatan Perangkaan
Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) telah menganjurkan bengkel Pengukuran Rasuah melalui Kaedah Berasaskan Bukti bersama Jabatan Perangkaan dengan input pakar dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di sini baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu bersama enam ahli keluarga serta proksi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa serta terlibat dalam rasuah membabitkan wang bernilai RM5.4 juta.

Suspek berusia 59 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik beberapa syarikat antara 2010 hingga 2017 yang mana beliau dan ahli keluarganya mempunyai pekentingan.

 

Menurut sumber, syarikat-syarikat itu adalah milik isteri, anak, menantu dan proksi suspek yang dilantik untuk memberi perkhidmatan dan bekalan berkaitan dengan program serta kursus.

“Anak syarikat Terengganu Inc itu merupakan milik kerajaan negeri Terengganu yang mengurus serta memberi latihan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

“Hasil siasatan awal pasukan siasatan mendapati pengurus pembangunan perniagaan itu telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memberi kontrak serta projek itu kepada syarikat milik ahli keluarga dan proksinya.

“Dia memberi kepada sebuah syarikat yang pengarah serta pemegang sahamnya adalah isterinya berusia 52 tahun serta dua anaknya yang masing-masing berusia 34 dan 31 tahun.

“Menantu perempuan yang berusia 34 tahun yang juga pemilik sebuah lagi syarikat turut diberikan projek itu,” kata sumber SPRM.

Sumber berkata, projek itu turut diberikan kepada dua orang proksi yang juga merupakan pemilik syarikat yang masing-masing berusia 40 tahun.

“Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di Terengganu dan ibu negara bermula lebih kurang jam 9 pagi hari ini,” katanya.

Syarikat-syarikat itu juga didapati tidak melaksanakan beberapa projek dan kursus tetapi telah membuat tuntutan pembayaran.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani yang mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi hari ini menegaskan pasukan penyiasat kini dalam proses mencari bukti-bukti yang dapat membantu siasatan ke atas kesemua suspek yang ditahan itu.

Menurut beliau, pasukan penyiasat SPRM juga telah pergi ke beberapa lokasi di Terengganu termasuk rumah pengurus pembangunan perniagaan tersebut bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan kes bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek yang ditangkap dijangka dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan perintah reman esok.

“Suspek-suspek yang ditahan itu disiasat disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen  23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009,” ujarnya. – MalaysiaGazette