KUALA LUMPUR – Punca kedudukan Malaysia merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia (CPI) 2017 adalah kerana kesalahan  ‘menghukum’ Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dibidas.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, kenyataan Presiden TI-M, Datuk Akhbar Sattar itu tidak ada fakta malah dilihat seolah-olah sengaja mahu mencemarkan imej kerajaan.

Jelas beliau, antara kenyataan tidak berasas itu termasuk dengan menggelarkan Rafizi sebagai ‘pemberi maklumat’ dan hukuman yang disabitkan ke atasnya punca kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah dunia merosot dari tahun lalu.

“Saya ingin betulkan kenyataan Akhbar. Rafizi bukan pemberi maklumat sebaliknya kalau di teliti betul-betul, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 secara terang-terangan telah menyebut maklumat itu sah seandainya diberikan kepada pihak berkuasa dan bukan kepada individu, parti politik dan media.

“Dalam akta ini juga menyebut seseorang boleh didakwa sekiranya pendedahan maklumat sulit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika tidak ikut lunas undang-undang.

“Rafizi secara terang-terangan telah menunjukan dirinya melanggar akta ini.

“Dalam kategori ini, Rafizi bukanlah seorang ‘pemberi maklumat’. Dia sedang didakwa dengan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) sejak enam tahun lalu. Jangan cuba putar belit di sini,” katanya hari ini.

Vell Paari berkata demikian mengulas kenyataan Akhbar yang kadar CPI 2017, Malaysia jatuh ke kedudukan ke-62, jatuh tujuh mata berbanding tahun 2016 kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap pemberi maklumat tentang rasuah di negara ini.

Jelas Vell Paari, kenyataan yang dikeluarkan oleh TI-M juga seolah-olah menunjukan badan itu mempersoalkan intergriti perundangan negara ini.

“Bagaimana dakwaan terhadap Rafizi membolehkan persepsi indeks rasuah negara merosot? Tampak jelas TI-M seperti mahu memberikan gambaran kerajaan tidak melindungi pemberi maklumat negara ini dan berniat untuk memburukkan imej Malaysia pada mata dunia.

“Saya sememangnya terkejut, dalam banyak-banyak badan integriti , mengapa TI-M yang sememangnya terkenal dengan intergriti serta telus boleh mengeluarkan kenyataan ‘berat sebelah’. Saya muskyil sebenarnya,” kata Vell Paari.

Dalam pada itu, anak kepada Tan Sri S. Samy Vellu itu turut mengingatkan Akhbar agar untuk lebih telus dan jujur dalam menilai isu berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Janganlah jadi jurucakap kepada pembangkang. Daripada cara dan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau, nampak seperti itu. Cukup-cukuplah,” tegasnya.- MalaysiaGazette