Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama yang lain menggaul 'Yee Sang' pada Majlis Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina LOU SANG di Dewan Huazong, Seri Kembangan, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 24 FEBRUARI 2018

SERI KEMBANGAN – Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak akan membenarkan segala kontrak perniagaan antara Malaysia dan China sebelum ini dibatalkan oleh mana-mana pihak.

Perdana Menteri akan memastikan hubungan diplomatik dua hala yang terjalin sejak zaman Tun Abdul Razak itu terus kukuh dan tidak diganggu oleh pembangkang yang memfitnah kononnnya maruah negara tergadai.

“Tetapi pembangkang sudah menyebarkan fitnah kononnya Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) melarang rakyat Malaysia khususnya Cina dan kesemua pelabur dan kakitangan China di Forest City akan diberi kewarganegaraan sehingga cuba mencetuskan ketidayakinan China terhadap Malaysia.

“Terbaharu pembangkang sudah merancang akan membatalkan segala kontrak perniagaan yang dipersetujui dengan China apabila mereka jika mereka mengambil kuasa selepas PRU-14.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berlaku dan saya memberi jaminan kepimpinan BN (Barisan Nasional) tidak akan membiarkan niat mereka tercapai malah akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam ucapan sambutan Tahun Baru Cina anjuran gabungan Persatuan Cina di Wisma Hua Zong, Serdang Raya di sini hari ini.

Turut memeriahkan majlis ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong.

Majlis yang sama juga disertai lebih 1,200 orang mewakili 118 persatuan Cina seluruh negara.

Dalam ucapan sama, Najib yang juga Pengerusi BN menyatakan kepimpinannya mengamalkan dasar yang adil dan inklusif demi kepentingan semua kaum menerusi beberapa langkah antaranya transformasi ekonomi dan transformasi nasional yang berjaya menentukan Malaysia dan rakyatnya berjaya dan makmur.

Ujar beliau, perjalanan ke arah itu akan memakan masa kerana ia merupakan perjalanan jauh yang perlu ditempuh bersama dan tiada negara yang boleh menunaikan segala yang dituntut dengan kadar segera.

“Namun, apa yang penting adalah perjalanan itu menjadikan kita semakin mara kehadapan dan sebagai kerajaan berjaya menyampaikannya.

“Kerajaan mengiktiraf harapan dan aspirasi dan suara anda yang mahu melihat negara yang aman dan politik stabil.

“Saya percaya hubungan antara kaum akan terus menjadi aset penting bagi menjamin kestabilan dan kerajaan akan terus memastikan apa yang dicapai dari segi sejarah dan budaya harus terus dipelihara dan diperkukuhkan demi keharmonian sejagat.

“Kita perlu bekerjasama untuk kearah mencapai kemakmuran dan tidak boleh hidup berisolasi atau berjaya berseorangan,” katanya lagi. – malaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast