Netizen mula berteka-teki mengenai kehamilan Nora Danish selepas melihat fotonya yang agak berisi ketika menghadiri majlis pernikahan teman baik dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nora Danish berkongsi pengalaman apabila dia hampir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) jika lambat membuat keputusan untuk melahirkan bayi lelakinya, Mohamed Neqayl Nedim atau NeyNey.

Nora, 37, memberitahu, ini kerana doktor mengesahkan dia berdepan dua fibroid yang pada tahap bahaya dan dinasihati agar melahirkan NeyNey secara pembedahan.

“Ikutkan saya memang nak lahirkan NeyNey secara normal tetapi dinasihatkan oleh Dr. Aziz supaya melakukan pembedahan kerana selepas diperiksa dengan teliti saya ada dua fibroid yang sangat bahaya.

“Saya bersyukur kandungan selamat kerana sebenarnya fibroid ini boleh menyebabkan keguguran dan saya mungkin ada di ICU.

“NeyNey dijangka lahir pada 9 Mac tapi nampaknya dia nak lihat dunia lebih awal. Alhamdullillah, untuk bayi pra-matang, anak saya sihat,” tulisnya di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Nora turut menasihatkan wanita yang merancang untuk mempunyai anak supaya melakukan pemeriksaan kesihatan dan jika dikesan mempunyai fibroid sepatutnya menjalani pembedahan membuangnya.

“Saya nak nasihatkan wanita di luar sana yang merancang untuk ada anak supaya buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

“Jika ada fibroids buang dahulu. Saya bertuah sangat kami berdua selamat dan sihat. Syukur kepada Allah dan terima kasih Dr. Aziz,” ujarnya.

Pelakon filem Makrifat Cinta ini selamat melahirkan bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram di sebuah hospital swasta di ibu negara pada pukul 9.02 pagi Khamis lalu.

Pada awalnya NeyNey dijangka lahir pada 9 Mac ini.

Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017 dan ia adalah perkahwinan kedua buat mereka.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mereka mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang berusia 9 tahun.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas bercerai pada tahun 2013. Dalam perkahwinan pertama itu Nedim turut mendapat anak lelaki. – MalaysiaGazette