Najib Razak

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak ada isu untuk dibangkitkan sehingga menimbulkan isu quinoa berbanding pencapaian terbaik negara dalam siri pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Najib di hadapan lebih 10,000 penduduk Teluk Kemang berkata, tidak timbul soal beliau mengambil quinoa sebagai sumber makanan kerana ia cuma makanan tambahan yang diambil sebagaimana vitamin dan madu dalam kalangan rakyat negara ini.

“Saya sebut makan quinoa pun jadi isu. Makanan ini ubat macam kita makan madu, vitamin. Tapi nasi lemak, nasi Vanggey pun saya makan.

“Dr. Mahathir cakap quinoa, tapi saya tidak (beri) makan kuda,” katanya dalam ucapan di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada siri lawatan ke Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, hobi Mahathir yang memelihara kuda lebih tinggi kosnya daripada quinoa yang diambil beliau.

“(Beri) makan kuda lebih mahal dari (beri) makan manusia. Saya ingat sebulan (beri) makan kuda, tiga tahun makan quinoa. Beri makan kuda lebih mahal dari makan quinoa. Berapa ekor dia (Dr Mahathir) ada, tanya dia.

“Lepas itu dia bercuti di Argentina pulak main kuda. Apa yang mahal sangat quinoa tu, apalah nak jadi isu,” katanya.

Dr Mahathir pada Jumaat lalu secara sinikal menyindir Najib dengan menyatakan beliau cuma makan nasi dan bukan quinoa yang dimakan oleh Najib.

Najib mendedahkan amalan pemakannya itu pada sesi perkongsian Bajet 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pada Khamis lalu.

Malah Najib berkata, beliau mengawal diet kerana tidak selalu bersenam.

Untuk rekod, quinoa adalah makanan ruji masyarakat Inca, yang lebih sihat berbanding nasi kerana berasaskan protein, kurang karbohidrat dan kurang gula. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.