Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China tahun lepas kekal kukuh sebanyak US$96.3 bilion (US$1=RM3.89), walaupun ekonomi dunia tidak menentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kejayaan besar hasil hubungan dua hala ini termasuk kejayaan penubuhan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan antara 2012 dan 2013.

“Kawasan pemula niaga Qinzhou seluas 7.87 kilometer persegi, kini hamper siap, dan setakat ini berjaya menarik 90 pelabur strategik utama, yang melabur sebanyak 90 bilion renminbi.

“Walaupun kadar penyertaan pelabur China lebih tinggi, 49 peratus daripada bahagian Pembangunan Induk dipegang oleh konsortium Malaysia iaitu milik bersama Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Bhd,” kata Najib pada jamuan tengah hari Tahun Baru Kerjasama Dua Hala Malaysia-China, di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, syarikat pertama yang beroperasi di taman perindustrian Kuantan, Alliance Steel (M) Sdn Bhd, akan memulakan operasi menjelang suku kedua tahun ini, dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion dan menawarkan 4,000 pekerjaan baharu.

Mengulas kemajuan masa depan, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara akan terus bekerjasama dalam pelbagai projek.

“Kami saling melabur di negara masing-masing. Jika perlu, kami turut membentuk perkongsian dengan satu sama lain agar berada pada kedudukan tepat untuk memanfaatkan ekonomi masa depan serta memastikan bahawa ini benar-benar (era) Abad Asia.

“Satu komponen utama daripadanya adalah Inisiatif ‘Belt And Road’ (BRI) diasaskan Presiden Xi Jinping yang mana Malaysia berpeluang untuk meraih peluang besar. Ini kerana inisiatif itu berpotensi membentuk platform kerjasama ekonomi terbesar dunia,” kata Najib.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab bagi menggalakkan minat rakyat negara ini, Malaysia tidak akan mengetepikan BRI dan sebaliknya menerima inisiatif tersebut.

Malah, kata Perdana Menteri, pendirian kerajaan Malaysia yang mesra pelaburan dan mesra perniagaan telah terbukti menyumbang dari segi kadar inflasi dan pengangguran yang rendah serta pertumbuhan ekonomi yang sihat sejak beberapa tahun. – MalaysiaGazette