ABU DHABI – Pasaran minyak global dijangka seimbang pada tahun ini memandangkan pengeluar-pengeluar terus mengurangkan bekalan selepas kejatuhan harga pada tahun 2014.

“Saya optimistik pasaran kembali seimbang antara bekalan dan permintaan,” menurut Menteri Minyak Emiriah Arab Bersatu, Suhail al-Mazrouei dalam Forum Pasaran Kewangan Global.

Pengeluar-pengeluar minyak OPEC dan bukan OPEC telah melaksanakan perjanjian pemotongan bekalan pada tahun 2016 sebanyak 1.8 juta sehari, selepas harga emas hitam itu semakin murah.

Dengan pematuhan pengurangan bekalan mencecah 133 peratus pada bulan Januari, keperluan yang dikehendaki OPEC telah tercapai.

Kadar pematuhan yang dicapai pada Disember adalah 129 peratus dan 122 peratus pada November.

Ekoran pengurangan bekalan itu, harga minyak melonjak sekitar AS$70 setong.

Mazrouei menyifatkan kerjasama antara pengeluar-pengeluar minyak itu telah melebihi tahap yang dijangkakan.

Walau bagaimanapun Mazrouei memberi amaran dengan keseimbangan pasaran minyak dan disusuli peningkatan permintaan,, sektor tenaga memerlukan pelaburan besar dalam masa terdekat – bukan sahaja oleh negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak, tetapi juga syarikat-syarikat minyak antarabangsa.

“Kami perlu tambahan 15 juta tong setiap hari menjelang 2040 untuk memenuhi permintaan,” katanya sambil meletakkan sasaran pelaburan yang diperlukan berjumlah AS$10.5 trilion. – MalaysiaGazette