Mohamed Nazri Abdul Aziz

PETALING JAYA – Isu yang membelenggu hartawan Malaysia Robert Kuok telah mencuri perhatian dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu, malahan mencetuskan pertikaman lidah.

Sinchew Daily melaporkan, menteri-menteri daripada MCA dalam mesyuarat itu telah menggesa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meminta maaf berhubung kritikan terhadap Robert.

Menurut akhbar itu, suasana mesyuarat juga menjadi tegang berikutan daripada pertikaman lidah yang berlaku.

Jemaah Menteri akhirnya bagaimanapun bersetuju supaya isu berkenaan Robert dihentikan serta mahu serangan ke atas hartawan itu ditamatkan.

Kabinet pada masa yang sama mengiktiraf sumbangan Robert kepada negara ini.

Mohamed Nazri sebelum ini menyatakan tidak akan memohon maaf kerana ulasannya mengenai Robert adalah berasaskan tulisan oleh Raja Petra Kamarudin, penulis blog yang mendakwa Robert memberi sumbangan kepada DAP. Perkara itu dinafikan Robert dan DAP.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, sumbangan Robert kepada kemajuan negara tidak boleh dinafikan.

“Beliau merupakan teladan dalam dunia perniagaan, tidak kira di dalam atau di luar negara,” katanya sambil menambah bahawa kritikan ke atas Robert adalah tidak saksama.

Tambahnya, kenyataan yang mencederakan Robert juga merupakan kenyataan yang melukakan masyarakat Cina di Malaysia.

“Saya telah menyampaikan isu ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menegaskan bahawa kejadian seperti ini tidak patut berlaku,” katanya.

Menurut Tiong Lai lagi, kenyataan yang menyerang Robert tidak melambangkan pendirian Barisan Nasional (BN).

Dalam memoir yang dihasilkan, Robert pernah mendedahkan bahawa beliau sebanyak tiga kali membantu MCA untuk melalui masa sukar.

Berhubung bantuan tersebut, Tiong Lai berkata, MCA berterima kasih kepada Robert dan memberitahu bahawa partinya sehingga kini masih mengekalkan perhubungan dengan hartawan itu.