KUALA LUMPUR – Kenaikan cukai hartanah secara mendadak di Selangor dan Pulau Pinang sejak tahun 2008 adalah untuk menampung perbelanjaan ahli politik PKR dan DAP di negeri-negeri tersebut, menurut Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil.
Isham berkata mengikut data kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terdapat peningkatan kes rasuah di Selangor dan Pulau Pinang sejak 10 tahun kebelakangan ini susulan peningkatan mendadak hasil cukai dan perbelanjaan kerajaan negeri.
“Akibatnya rakyat ditekan untuk bayar cukai hartanah serta harga rumah yang melambung tinggi di Selangor dan Pulau Pinang akibat kautan cukai negeri yang tinggi ini,” katanya dalam temu bual dengan sebuah portal berita.
Tambahnya lagi, apabila kerajaan kedua-dua negeri itu menaikkan cukai hartanah dengan mendadak, mereka juga telah menaikkan gaji dan elaun mereka sendiri sehingga gaji menteri besar (MB) Selangor kini lebih tinggi daripada gaji perdana menteri.
“Saya rasa gaji MB Selangor perlu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga masalah-masalah asas diselesaikan,” katanya sambil memberikan contoh masalah air, sampah sarap dan perumahan mampu milik.
“Elaun penjawat awam di Selangor mungkin boleh dinaikkan namun gaji MB perlu diturunkan ke paras yang lebih munasabah. Kita mahu (mereka) berkhidmat untuk rakyat, bukannya untuk kayakan diri sendiri,” katanya. – BERNAMA