SEPANGGAR – Kerajaan akan terus mempertingkatkan usaha dan komitmen untuk memastikan bidang pendidikan di Sabah terus maju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata usaha untuk memajukan bidang pendidikan sangat penting bagi memastikan rakyat Sabah berpeluang untuk mempertingkatkan potensi diri ke tahap maksimum.

“Apa yang dilakukan kerajaan pada masa ini adalah untuk terus meningkatkan kemajuan bidang pendidikan dan proses pembelajaran dan pengajaran.”

“Ia sekali gus secara berperingkat menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat komited untuk membangunkan sekolah-sekolah daif kepada sekolah yang lebih moden bukan saja dari segi bangunan tetapi memasukkan unsur-unsur seperti bilik darjah abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telipok, dekat sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Najib berkata konsep untuk membina SMK dan SK Pekan Telipok di satu lokasi tapak yang sama adalah sangat baik.

“Kedua-dua sekolah dapat berkongsi pelbagai kemudahan seperti padang,” katanya.

Katanya SMK Pekan Telipok menelan kos pembinaan sebanyak RM31 juta, manakala SK Pekan Telipok melibatkan kos pembinaan sebanyak RM18 juta.

SK Pekan Telipok dan SMK Pekan Telipok sebelum ini beroperasi di bangunan lama kira-kira dua kilometer dari lokasi baharu dalam keadaan bangunan yang daif.

Bangunan baharu yang mula dibina sejak 2009 itu sebelum ini tertangguh akibat masalah teknikal dan telah disambung semula pembinaannya pada 2013 dan siap pada tahun ini.

Bangunan baharu yang menempatkan 837 pelajar dan 58 guru SMK dan 704 pelajar serta 43 guru SK itu mula beroperasi pada 20 Februari lepas.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast