Nazri Aziz

PETALING JAYA – Pertikaman lidah yang berlaku antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan MCA pada masa ini boleh dijejak sehingga zaman Datuk Seri Chua Soi Lek.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Renggas memberitahu secara terbuka, MCA bukannya kerana parti itu yang dipimpin Soi Lek semasa Pilihan Raya 2013 telah memboikotnya.

“Jawatankuasa bahagian MCA Padang Renggas memboikot dan secara terbuka tidak menyokong saya.

“Apa yang boleh saya buat? Oleh itu, MCA bukan rakan saya,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mohamed Nazri berkata, beliau pernah bertikam lidah dengan Soi Lek berhubung pilihan raya dalam akhbar Cina dan bertitik tolak daripada kejadian itu, MCA Padang Renggas yang rata-rata terdiri daripada penyokong Soi Lek telah berpaling muka dengannya.

“Jika mereka ialah kawan saya, kenapa pula tidak menyokong saya? Sampai hari ini mereka tidak meminta maaf kepada saya

“Saya percaya mereka akan terus memboikot saya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Soi Lek ketika dihubungi Sinchew Daily berkata, Mohamed Nazri harus mencerminkan diri dan mengenal pasti puncanya beliau diboikot.

Malahan beliau berkata, sokongan Cina terhadap Barisan Nasional (BN) akan bertambah jika Mohamed Nazri meninggalkan parti itu.

Soi Lek juga menyokong tindakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon yang membidas  Mohamed Nazri berhubung kenyataannya mengenai hartawan Robert Kuok.

“Anda diberi hak bersuara, tetapi bukan hak untuk memalukan orang,” kata Soi Lek kepada Mohamed Nazri. – MalaysiaGazette