Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong ke-15 mengikut tradisi penggiliran.
Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong ke-15 mengikut tradisi penggiliran.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V perkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dataran Parlimen hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 10.45 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat itu diteruskan dengan alunan lagu kebangsaan, Negaraku yang dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Baginda kemudian perkenan menerima sembah Hormat Diraja daripada Mejar Azlan Shah Baharom dari Batalion Pertama RAMD, Kem Sungai Besi, sebelum memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat batalion sama.

Sultan Muhammad V seterusnya diiringi Perdana Menteri ke Bilik Diraja untuk sesi bergambar sebelum berangkat ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari bermula hari ini hingga 5 April sementara Dewan Negara dari 16 April hingga 30 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast