Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Ahmad Fauzi Zahari bercakap kepada media pada Program Kefahaman Remaja Islam di Masjid Muadz Jabal Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 05 MAC 2018.

SETIAWANGSA – Langkah pembangkang yang giat menggerakkan kempen kiraan 100 hari pembebasan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN), kata Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, seorang pemimpin tidak mencerminkan gambaran sebenar sesebuah negara dan menyifatkan pengaruh Anwar dalam kalangan penyokong setianya sudah tenggelam apabila rakyat mula melihat kemampuan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membela kebajikan mereka.

“Siapa juga bekas pemimpin mahu tidak mahu mungkin ada kesan itu, tapi kesan itu sejauh mana

“Tapi kita cukup yakin kerja-kerja kita yang telah kita buat ini satu orang membuat negara, dalam erti kata satu orang tidak mencerminkan negara ini

“Dia adalah Anwar Ibrahim, banyak perkara-perkara lain seperti isu kemiskinan, harga barang dan lain- lain yang kerajaan tangani setiap masa,” katanya semasa sidang media selepas
merasmikan program kefahaman remaja Islam di Masjid Muadz bin Jabal hari ini.

Beliau yakin rakyat mampu membuat pertimbangan yang rasional dengan melihat pembaharuan dan pembangunan dibawa oleh kerajaan BN berbanding dengan kempen sia-sia oleh pembangkang yang memperjuangkan seorang individu sahaja.

“Saya hanya lihat rakyat tidak menghukum kerajaan hanya pada satu perkara yang agak isolated… Semua orang boleh bercakap tapi kita minta supaya rakyat buat pertimbangan terhadap tahap pencapaian kerajaan masa ini.

“Telah banyak kita lakukan dan akan banyak lagi kita akan lakukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, PKR bertindak melancarkan kiraan 100 hari menjelang pembebasan Anwar yang kini sedang meringkuk di penjara.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isterinya, kempen itu bertujuan menyemarakkan bahang menjelang pilihan raya umum ke-14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Terdahulu, Fauzi dalam majlis anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyeru supaya para pelajar tidak terjebak dan terpengaruh dengan ideologi pengganas, sebaliknya menghayati makna jihad sebenar yang bukan semata-mata meletupkan diri sendiri.

Sebanyak 100 buah sekolah seluruh Kuala Lumpur dipilih menyertai program hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast