Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan penambahan kerusi di kawasan blok anggota Parlimen Bebas dengan kehadiran Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Kini, bilangan kerusi bagi anggota Parlimen Bebas di Dewan Rakyat bertambah kepada tiga berbanding dua sebelum ini, manakala bilangan kerusi anggota Parlimen PAS berkurang kepada 13 berbanding 14 sebelum ini.

Mahfuz diletakkan sebaris dengan Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kedua-duanya juga merupakan anggota Parlimen Bebas.

Mahfuz pada 31 Dis lepas mengumumkan keluar daripada PAS selepas 34 tahun bersama parti itu kerana dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Ditanya mengenai perasaannya kali pertama hadir bersidang sebagai anggota Parlimen Bebas, Mahfuz menyifatkan hari ini sebagai satu sejarah dalam hidupnya.- BERNAMA