SEOUL – Harga minyak melonjak dalam dagangan hari ini untuk hari kelima berturut-turut, disokong oleh ramalan permintaan yang kukuh dan prospek hubungan tidak formal oleh OPEC dengan pengeluar minyak syal Amerika Syarikat yang sedang bermesyuarat di Houston.
Penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent naik kepada AS$65.73 setong pada 0138 GMT, meningkat AS$0.19 sen atau 0.29 peratus.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) melonjak kepada AS$62.74 setong, meningkat AS$0.17 atau 0.27 peratus.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada hari Isnin berkata, permintaan minyak global dijangka berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang, sementara output daripada pengeluar dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
IEA berkata, Amerika Syarikat akan membekalkan permintaan minyak dunia yang semakin meningkat dalam tempoh yang sama kerana pengeluaran minyak syalnya telah bertambah.
Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat telah meningkat lebih dari 10 juta tong sehari mengatasi pengeksport utama Arab Saudi. Pengeluaran mencecah rekod 10.057 juta setong pada bulan November, menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat.
Pertemuan itu dibuat ketika OPEC dan Rusia melaksanakan perjanjian pengurangan bekalan bagi menangani lebihan bekalan minyak dunia dalam usaha melonjakkan harga.a.
Bagaimanapun, pengeluaran minyak Amerika Syarikat yang tinggi telah menghambat usaha OPEC untuk mengurangkan bekalan global. – MalaysiaGazette