KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa mempersoalkan penafian yang dibuat Nik Abduh Nik Aziz berhubung rakaman suara yang tular kononnya Pas menerima duit daripada UMNO.
“Nik Abduh nak nafikan yang mana? Pasal suara rakaman ke pasal terima wang UMNO?” soalnya dalam media sosialnya hari ini.
Walaupun memaklum dirinya tidak ada kena mengena dengan rakaman suara seakan-akan Nik Abduh itu namun Husam mengakui beliau ada rakaman yang sama tetapi belum disebarkannya.
“Saya cadang nak sebar masa dekat pilihan raya, selepas Parlimen dibubarkan. Tengok-tengok sudah ada orang lain sebarkan di FB,” katanya.
Beliau berkata, rakaman yang ditularkan itu hanya sekerat sahaja dan selebihnya tidak disebarkan seperti yang ada pada simpanannya.
Selain mahu Pas menubuhkan jawatankuasa menyiasat perkara itu, Husam juga mahu Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyaman pihaknya menularkan rakaman itu.
Bagaimanapun, menurutnya, Pas biasanya hanya cakap sahaja mahu saman namun tidak berbuat demikian sambil mengambil contoh kerajaan negeri Kelantan yang mahu menyamannya namun sampai sekarang tidak berlaku.- MalaysiaGazette
Nik Abduh nafi ambil duit UMNO