Kerajaan Pusat telah mengeluarkan dana serta mengambil alih liabiliti yang berjumlah RM25 bilion untuk aset-aset air negeri Selangor.

KUALA LUMPUR – “Air pun tidak ada, nak bagi percuma apa? demikian seloroh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid kepada Pakatan Harapan.

Tambahnya isu air di Selangor yang sentiasa berlanjutan sepatutnya menjadi keutamaan kepada parti pembangkang yang mentadbir kerana ia berkait rapat dengan keselesaan rakyat.

“Benda paling asas, tidak ada air, tidak ada kehidupan, tidak ada masyarakat, tidak ada polisi, tidak ada dasar. Saya harap apa yang berlaku di Selangor ini selesaikanlah cepat. Jangan tunggu nak pilihan raya.

“Kalau air tidak dapat ditangani, saya rasa Yang Berhormat-Yang Berhormat pembangkang kena fikirlah sebab air ini perkara asas. Kalau kita cakap janji bagi air percuma, air pun tidak ada nak bagi percuma apa,” katanya.

Terdahulu Ehsanuddin membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Rakyat.

Menurutnya, tidak ada gunanya untuk Pakatan Harapan menguar-uarkan manifesto yang bakal dibentangkan jika berjaya menang pilihan raya sekiranya penduduk di Selangor menjadi mangsa setiap tahun.

“Nak masuk 10 tahun tidak selesai lagi, selesaikanlah supaya rakyat tidak susah, tidak rasa tidak selesa,” ujarnya.

Sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air semenjak 6 Mac berikutan kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast