SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad dirakam tersenyum sinis apabila melihat video paparan melibatkan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahathir yang hadir bagi merasmikan manifesto peringkat nasional PH itu duduk di sebelah isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.
Sebaik selesai ucapan Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, majlis memaparkan video bertajuk 10 Tahun Reformasi yang memaparkan visual Anwar Ibrahim semasa beliau dilucutkan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 di zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Dalam pada itu, hanya Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu yang dilihat menyebut nama Ketua Umum PKR itu sebanyak dua kali.
“Diantara manusia yang sabar menyatukan pembangkang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sampailah kita di peringkat sekarang,” katanya dalam ucapan pentas pelancaran Manifesto PH.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu tampil dengan bergaya berkata empat parti komponen dalam PH telah meniti satu perjalanan jauh untuk hadir dalam satu konsensus yang mampu membawa Harapan kepada rakyat.
Beliau hanya berucap pendek memberi penghargaan kepada Anwar yang juga Ketua Umum PH yang tidak putus asa menjalinkan hubungan antara parti-parti pembangkang dan individu yang tidak dijangka mampu bekerjasama sebelum ini.
“Pembangkang makin kuat. Dulu ada tiga parti, sekarang dah ada empat parti,”
Beliau turut meluahkan keyakinan mengenai peluang baik untuk akhirnya menewaskan BN pada PRU-14.
“Kita yakin pakatan menang kecuali ditipu,” kata Mohamad.
Berbeza pula dengan orang kanan Anwar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga langsung tidak menyebut nama pemimpin utama PKR dalam ceramahnya.
Dalam ucapannya, Azmin asyik menyenaraikan kejayaan-kejayaan yang dikecapi sepanjang pemerintahan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. -MalaysiaGazette.