Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan dianggap memberi ‘cawan beracun’ kepada rakyat sebagai minuman menerusi manifesto yang dilancarkan baru-baru, kata Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, manifesto tersebut juga dilihat sekadar meraih untung dalam jangka pendek tetapi menanggung derita pada jangka masa panjang.

“Seperti ungkapan di Amerika, tiada benda seperti makan tengah hari percuma. Siapa saja, dan di mana saja kena membayarnya. Dan manifesto Pakatan Harapan bermakna generasi akan datang harus menanggung akibat daripada kesilapan yang dilakukan generasi sekarang,” katanya.

Salleh berkata demikian menerusi catatan terbarunya di laman blog, sskeruak.blogsport.my.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, tidak ada penjelasan dibuat apabila janji pembangkang mahu menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika mereka memegang tampuk kepimpinan dan memperkenalkan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Salleh mempersoalkan, berapa banyak pendapatan yang akan diperoleh sekiranya pembangkang mahu menggantikan kehilangan RM40 bilion jika GST dihapuskan.

“Di manakah pendapatan alternatif yang diperlukan untuk membayar barang dan perkhidmatan serta membangunkan negara? Berapakah hasil yang disumbangkan oleh SST?

“Menghapuskan GST bukanlah isu. Isunya ialah tiada penjelasan mengenai SST, yang biasanya lebih tinggi daripada GST,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang mengulas mengenai janji pembangkang untuk memperkenalkan semula subsidi petrol, Salleh berkata: “Dari satu segi Pakatan Harapan menentang subsidi, manakala daripada aspek lain mereka mahu subsidi bagi petrol. Kebanyakan ahli ekonomi tidak bersetuju pemberian subsidi bagi petrol”.

“Sama seperti janji mereka pada 2008 apabila mahu menghapuskan tol lebuh raya tetapi selepas 10 tahun memerintah, masih tidak menghapuskan caj tol bagi lebuh raya di Selangor.

“Menghapuskan caj tol bagi lebuh raya bermakna kerajaan Selangor perlu membayar pampasan berbilion ringgit kepada pemegang konsesi setiap tahun, dan dari segi ekonomi ini adalah mustahil,” tambah beliau. – MalaysiaGazette