Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memanjangkan tempoh untuk parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh 30 hari yang ditentukan tidak cukup berikutan parti itu menerima notis pada 7 Mac yang lalu.

“Kita masih dalam peringkat menyiapkan maklumat yang diperlukan RoS bila kita menerima notis cuma notis yang dihantar sampai kepada kita pada 7 Mac ditandatangani pada 28 Febuari.

“Jadi tidak cukup 30 hari, jadi itu satu perkara yang mungkin beliau boleh pertimbangkan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, parti itu yang dalam proses menyiapkan kesemua maklumat turut menggunakan peguam memastikan dokumen yang bakal diserahkan memenuhi permintaan, kata Muhyidin.

“Kita ada pasukan khusus untuk menyiapkan dengan bantuan peguam supaya bukan sahaja memenuhi RoS tetapi berdasarkan perlembagaan dan juga Akta Pertubuhan sebagai rujukan utama kita.

“Yang dikehendaki RoS baik dari segi mesyuarat-mesyuarat yang kena adakan, penyata kira-kira, keahlian dan yang lain-lain yang telah tersenarai oleh RoS kita akan jawab,” ujarnya sambil berharap kemelut itu akan selesai sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Terdahulu ROS mengemukakan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 kepada PPBM berkuat kuasa 28 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, notis tersebut yang telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh mengkehendaki parti tersebut menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan juga dokumen kepada pihak ROS.

Katanya lagi PPBM beririsko untuk dibubarkan jika gagal menyerahkan maklumat-maklumat dokumen yang diminta. -MalaysiaGazette