Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) merancang untuk membina sebuah terminal baharu dalam tempoh lima tahun akan datang apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 menghampiri kapasiti maksimum.

Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali berkata, setakat ini, pengendali lapangan terbang itu akan menambah baik pengendalian bagasi serta sistem-sistem berkaitan untuk memberi perkhidmatan kepada tambahan 3 hingga 5 juta penumpang lagi di dua lapangan terbang berkenaan.

“Kami merancang untuk membina terminal baharu yang dipanggil KLIA3 di sempadan Landasan 3 dan 4.

“Kami perlu membuat keputusan tersebut dan membinanya dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kemudahan Senior Aerospace UPECA di Subang, Selangor hari ini.

KLIA mencatatkan 58.5 juta penumpang pada 2017, naik 11.2 peratus berbanding 2016.

Terminal utaa mengendalikan 10.7 peratus lebih penumpang iaitu seramai 28.2 juta berbanding pada 2016 manakala klia2 mengendalikan 30.3 juta penumpang, tumbuh 11.6 peratus berbanding 2016.- Bernama