Home Politik Sekat dana, cara Azmin balas dendam – Sallehin

Sekat dana, cara Azmin balas dendam – Sallehin

KUALA LUMPUR – Sekatan peruntukan tahunan kepada Pas Selangor dipercayai tindakan balas dendam Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, kegagalan memberikan alasan yang kukuh dan munasabah membuktikan Azmin tidak profesional apabila melibatkan pentadbiran dengan isu hubungan politik di antara kedua-dua parti.

“Sebenarnya saya percaya bahawa dia memang tidak mahu beri. Bagaimana dia menyebut kemarahannya kepada Pas, dia kata kita tak faham tentang politik di Selangor, kita keluar daripada gabungan dan akan ada tiga penjuru mungkin itulah yang berlaku.

“Sepatutnya itu tidak menjadi punca dan pentadbiran tidak boleh disamakan, itu lain. Profesionallah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sallehin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak mempertikaikan alasan tidak jelas yang diberikan oleh Azmin apabila berkata terdapat masalah teknikal dan kemudiannya menyatakan bahawa wakil rakyat parti itu perlu mengikut prosuder sebelum menerima dana.

Jelas Sallehen, selepas perayaan Tahun Baru Cina sehingga kini, Azmin gagal menyatakan perkembangan terkini mengenai dana tahunan berjumlah RM800,000 yang sepatutnya diberikan kepada semua wakil rakyat, termasuk Pas yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

“Tidak ada maklum balas daripada Menteri Besar sejak Tahun Baru Cina. Kita sudah minta ruang untuk berjumpa, nak jumpa dia kena melalui Setiausaha Politik dia tapi tidak ada perkembangan nak jumpa, tarikh bila. Sehingga hari ini walaupun kata nak beri tarikh perjumpaan.” menurutnya.

Sehubungan itu, Pas memaklumkan telah menghantar surat rasmi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin untuk menjelaskan keadaan terkini.

Sallehin turut menyelar Azmin kerana mengheret rakyat yang akhirnya menjadi mangsa apabila wakil rakyat parti itu tidak dapat memberikan perkhidmatan ekoran ketiadaan peruntukan.

“Kita pun tidak akan merayu daripada kerajaan negeri untuk dana itu, kalau ada, ada. Kalau tidak ada, tidak apa.

“Sepatutnya dana itu untuk rakyat bukan untuk wakil rakyat, sebab itu saya kata bila dia buat macam ni, yang tertekan adalah rakyat bukan wakil rakyat.

“Jadi sekarang ini kalau dia mengharapkan dia nak kita rasa tertekan, rasa marah, sebab sebenarnya yang marah itu ialah rakyat,” tambah beliau yang yakin rakyat Selangor mengetahui kebenaran berhubung isu itu. – MalaysiaGazette