Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bercakap kepada media selepas sesi perbentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini mengumumkan beliau menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Mahfuz yang sebelum ini berteka-teki mengenai pendirian politik itu akhirnya mengakui beliau adalah seorang ahli politik ‘harum manis’.

“Saya umumkan tamat politik bebas tanpa parti.

“Saya menyertai PAN bersama PH bagi melangkah gagah bersama membawa perubahan dalam politik Malaysia,” katanya dalam satu majlis di Parlimen hari ini.

Penglibatan Mahfuz semakin jelas apabila majlis itu hanya dihadiri kepimpinan PAN, antaranya Presidennya Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub.

Turut hadir, Ketua Wanita PAN, Dr. Mariah Mahmud, Pengarah Komunikasi Strategik, Khalid Samad. -MalaysiaGazette.