Wong Nai Chee

MELAKA -Cadangan MCA untuk meletakkan Datuk Wong Nai Chee sebagai calon di kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka mencetuskan kontroversi dengan MCA bahagian merancang bantahan besar-besaran bersama pengundi pelbagai kaum.

Bantahan itu dirancang berikutan keputusan MCA pusat yang mahu menukar Datuk Koh Nai Kwong untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukannya kerusi Parlimen.

Nai Chee merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Melaka dan kini menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

MCA bahagian Alor Gajah bagaimanapun berpendapat Nai Kwong yang berjasa dan berkhidmat dengan baik patut dikekalkan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Nai Chee ketika dihubungi China Press berkata, beliau diamanahkan oleh MCA pusat untuk bertanding di Alor Gajah.

Beliau juga berkata, rancangan parti ialah menempatkan Nai Kwong untuk bertanding di DUN Machap serta melantiknya sebagai Exco negeri jika memenangi pilihan raya.

Rancangan MCA pusat itu bagaimanapun menyebabkan rasa tidak puas hati di peringkat bahagian yang berharap Nai Kwong dapat dikembalikan ke kerusi Parlimen.

Masing-masing kerusi Parlimen Alor Gajah dan DUN Machap dianggap sebagai kawasan selamat untuk MCA. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.