Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan bertanding kerusi lain selain Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas terdapat ura-ura Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mahu bertanding di Parlimen Muar.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri majlis pelancaran buku ‘A Driver’s Son’ anjuran MPH Group Publishing di Pusat Membeli Belah NU Sentral, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 JULAI 2017

Muhyiddin memberi alasan sebagai pemimpin senior ia tidak menjadi masalah untuk beliau memilih mana-mana kerusi disukainya walaupun sudah menyandang kerusi Parlimen Pagoh sejak 1978.

“Saya bersedia diletakkan di mana-mana pun. Saya orang lama jadi tak ada masalah bertanding di mana kawasan sekalipun.

“Sememangnya Pagoh ini kawasan lama dan ramai rakyat di sini yang minta saya bertanding, tapi itu sentimen, kehendak dan sokongan yang saya jangka saya boleh perolehi di mana-mana kerusi pun untuk capai kemenangan,” beliau dipetik berkata selepas merasmikan sebuah program di Pagoh hari ini.

Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978, kemudian beralih kepada kerusi DUN di Pagoh dan berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995.

Beliau kembali menjadi ahli Parlimen Pagoh pada tahun yang sama.

Sebelum ini, beberapa nama besar hangat diperkatakan sebagai calon di kerusi Parlimen Muar yang merupakan kubu UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selain Muhyiddin, nama Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga antara calon yang disebut bertanding di situ. – MalaysiaGazette