BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak sekadar memberi bantuan kepada rakyat secara bermusim, terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 semakin dekat.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timba­lan Presiden UMNO itu turut meminta agensi kerajaan dan swasta menyusun jadual untuk program bantuan secara berkala kepada golongan sasar.

“Oleh kerana kita mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, UMNO dan semua parti BN, kementerian dan agensi swasta hendaklah menyusun jadual agar soal kepedulian kepada rakyat tidak bermusim dan berjalan setiap tahun tidak kira ada perayaan atau musim menuai (pilihan raya).

“Saya harap jangan bantuan ini terhad pada hari ini sahaja dan saya mohon agar setiap isi rumah diberikan bantuan tidak kira miskin atau tidak miskin, kita mahu semua rakyat merasa bantuan dari biro kebajikan UMNO Malaysia,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang merangkap Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Kira-kira 5,000 masyarakat daerah Bagan Datuk menerima manfaat menerusi program itu yang melibatkan keperluan asas kepada ibu tunggal, asnaf serta bantuan pendidikan untuk pelajar sekolah.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut meminta parti komponen BN mencontohi gerak kerja UMNO dalam membantu rakyat tanpa mengenal warna kulit, bangsa dan agama.

“Jangan jadikan parti yang dibentuk berlandaskan kpd hanya kaum tertentu itu hanya perjuangkan hak kaum masing-masing sahaja, sebaliknya perlu dilakukan untuk semua rakyat kerana mereka mengharapkan kita,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast