SYDNEY – Negara anggota ASEAN dan Australia perlu meningkatkan serta menggiatkan lagi kerjasama dalam usaha mencegah penyebaran ideologi pengganas, di samping mengamalkan pendekatan lebih berkesan bagi memerangi ancaman radikalisasi dan pengganas ekstremis di Asia Pasifik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tiada negara yang mampu memerangi keganasan secara bersendirian. Sekiranya kita lebih bersatu, maka akan menjadi lebih berkesan dalam memerangi ancaman yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan ini.

“Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang selamat daripadanya. Tetapi, andainya kita bersatu, kita akan lebih selamat,” kata perdana menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan di International Conference Centre (ICC) Sydney di sini pada Sabtu.

Persidangan itu adalah antara acara utama yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia selama dua hari bermula Sabtu.

Persidangan berkenaan menonjolkan tentang pentingnya kerjasama serantau bagi menangani ancaman keganasan dan gerakan pelampau yang dihadapi bersama.

Najib ialah satu-satunya pemimpin ASEAN yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan persidangan itu. Seorang pemimpin lagi ialah Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.

Najib berkata rantau ini bukan sahaja berdepan dengan risiko menerima akibat buruk daripada aktiviti jenayah rentas sempadan, tetapi juga banyak isu lain, termasuk keganasan dan pergerakan manusia yang tidak menghormati peraturan berkaitan sempadan.

“Lebih erat kita bekerjasama berhubung isu ini, maka kita akan lebih berjaya. Sebagai contoh, saya ingin sebut tentang Redback Operation yang diadakan setiap tahun antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Pengawal Sempadan Australia serta inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang menggandingkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Mekanisme serupa juga telah diwujudkan di laluan air strategik lain seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama rapat untuk mengekang aktiviti menculik dan pelanunan di wilayah perairan yang luas itu,” katanya.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam memerangi keganasan, Najib berkata Malaysia mempunyai senarai panjang serta rekod yang konsisten dalam menghadapi cabaran berkaitan keganasan dan keganasan pelampau.

Kami telah luluskan beberapa undang-undang, termasuk Akta Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Perlu) kerana kami bertekad untuk tidak menunggu sehingga sesuatu kekejaman itu berlaku, baru hendak diambil tindakan.

“Sekiranya kita ingin bertindak dengan berkesan untuk menyelamatkan nyawa, maka kita perlulah mempunyai undang-undang yang dapat mencegah tindakan keganasan, bukan hanya menangani perkara yang muncul selepasnya, kata beliau.

Perdana menteri berkata undang-undang itu telah menyelamatkan banyak nyawa, bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia, tetapi juga bukan rakyat Malaysia dan beliau berbangga untuk menyatakan bahawa tiada sebarang tindakan pengganas yang mengakibatkan kehilangan nyawa berlaku di bumi Malaysia.

“Kami komited untuk mengekalkan rekod itu dan izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pasukan pencegahan keganasan Malaysia atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam memastikan kami sentiasa berada dalam keadaan selamat, walaupun mereka sendiri perlu berdepan dengan pelbagai risiko, katanya.

Najib berkata satu lagi perkara yang sangat penting ialah memupuk budaya yang menyebabkan ideologi radikal amat sukar untuk bertapak dan sehubungan itu, Malaysia telah menubuhkan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Kuala Lumpur sebagai pusat bagi penyatuan dan penyebaran maklumat serta bahan untuk mengekang ancaman itu.

Sehingga kini, tugas mereka itu telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat global dalam usaha memupuk kesederhanaan, deradikalisasi dan menentang pelampau keganasan, katanya.

Najib berkata penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia pula bertujuan membetulkan salah tanggapan masyarakat antarabangsa tentang Islam, di samping untuk menangkis naratif pujukan yang disebarkan Daesh dan puak pelampau lain secara dalam talian.

Propaganda yang disebarkan Daesh secara dalam talian boleh sampai kepada lebih 300 juta orang Islam di rantau kita ini. Saya percaya, inilah medan perang kita yang sebenar untuk menawan hati dan minda para belia kita, khususnya melalui media sosial, agar mereka tidak mudah terpengaruh oleh ideologi buruk dan degil Daesh, yang sama sekali bertentangan dengan ajaran sebenar Islam, yang melindungi kesucian nyawa semua manusia , tanpa mengira agama, katanya.

Menurut beliau, sejak beberapa tahun lepas, Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi memastikan wujudnya keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau ini.

Perdana menteri berkata Malaysia dan Australia mempunyai hubungan dua hala yang rapat, terutama dalam bidang keselamatan dan menentang keganasan.

Menurut beliau, hubungan rapat itu dapat dilihat apabila kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan jenayah rentas negara pada 2014.

Di bawah MoU ini, lebih banyak fokus diberi terhadap langkah memerangi keganasan, keselamatan maritim sivil, pengurusan sempadan, memerangi pemerdagangan orang serta pertukaran maklumat dan hasil risikan, katanya.

Pada majlis penutupan persidangan itu, para pemimpin menyaksikan upacara menandatangani MoU antara ASEAN dan kerajaan Australia berhubung Kerjasama Antarabangsa Bagi Memerangi Keganasan.

MoU itu ditandatangani Setiauasaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dan Menteri Luar Australia Julie Bishop.

Terdahulu, Najib dan pemimpin ASEAN lain diberi sambutan rasmi oleh Turnbull ke sidang kemuncak itu.

Mereka kemudiannya menghadiri sesi jamuan teh Rancangan Colombo Baharu, di mana para ketua negara dan kerajaan ASEAN mengadakan perjumpaan dengan pelajar Australia yang melanjutkan pengajian di bawah rancangan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast