Home Utama PNB ikrar buat terbaik untuk 13.3j pelabur

PNB ikrar buat terbaik untuk 13.3j pelabur

Pengerusi PNB, Wahid Omar berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke 40 PNB dan Perjumpaan dengan Warga PNB di Perkarangan PNB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjanji akan terus memegang amanah dan melakukan yang terbaik untuk manfaat lebih 13.3 juta pelabur dan semua rakyat Malaysia.

PNB kini merupakan syarikat pengurusan pelaburan terbesar di Malaysia dengan jumlah dana RM279 bilion.

Sebanyak 98 peratus daripadanya dilaburkan dalam negara untuk membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia, sekali gus memberikan peluang saksama kepada golongan profesional Bumiputera terlibat dalam sektor korporat.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 70 peratus daripada dana tersebut dilaburkan dalam saham-saham tersenarai.

“Pelaburan dalam saham-saham tersenarai bernilai RM200 bilion merangkumi lebih 10 peratus daripada nilai modal pasaran syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Ini termasuklah 10 syarikat-syarikat strategik iaitu Maybank, Sime Darby Plantation, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property, SP Setia, UMW Holdings, UMW Oil & Gas, CCM, CCM Duopharma dan MNRB.

“PNB juga memiliki pelaburan dalam lebih 40 syarikat-syarikat Teras seperti TM, Axiata, MMC, TNB dan BIMB Holdings di mana PNB memiliki lebih 10 peratus ekuiti atau nilai pelaburan lebih RM1 bilion dalam syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, Pelan Strategik PNB 2017-2022 dikenali STRIVE-15 yang mensasarkan PNB menjadi sebuah Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia telah berjalan lancar dan membuahkan pelbagai kejayaan.

Ia termasuklah peningkatan pendapatan, membolehkan PNB membayar dividen dan bonus sebanyak 7.25 sen serta bonus khas 1.00 sen untuk 10,000 unit pertama kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sempena ulang tahun PNB yang ke-40.

Menurut beliau, PNB mengagihkan dividen dan bonus ASB serta unit-unit amanah ASNB yang lain melibatkan sejumlah RM14.4 bilion untuk tahun 2017 dan lebih RM172 billion jumlah terkumpul dividen dibayar kepada para pelabur sejak PNB ditubuhkan 40 tahun lalu.

Abdul Wahid berkata, PNB amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan barisan kepimpinan PNB Allahyarham Tun Ismail Ali.

Ismail merupakan orang Malaysia pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dan berkhidmat sebagai Pengerusi pertama apabila PNB ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sehingga 17 Oktober 1996. Selepas itu, Allahyarham Tun Ismail terus menjadi penasihat kepada PNB sehingga beliau meninggal dunia pada 6 Julai 1998.

“Kita juga menghargai jasa Pengerusi PNB yang kedua, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan semua Ketua-ketua Pegawai Eksekutif yang terdahulu iaitu Tan Sri Desa Pachi, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Sri Mohd Hilmey dan Tan Sri Hamad Kama Piah yang telah membina PNB sehingga menjadi sebuah institusi nasional yang berintegriti,” tambah beliau. – MalaysiaGazette