Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Terdapat segelintir pihak yang tidak suka kepada keamanan dan kesejahteraan negara yang akhirnya bertindak mewujudkan berita palsu, kata penceramah bebas Datuk Kazim Elias.

Pendakwah bebas Datuk Kazim Elias berkata, golongan yang tidak suka kepada keharmonian boleh mengakibatkan negara tidak maju.

“Tetapi ada segolongan manusia tidak suka yang baik-baik, tengok Melayu dengan Cina tidak boleh baik nak digaduhkan.

“Ini akan berlaku dalam masyarakat kita. Tidak suka tengok hidup bermasyarakat, sedangkan kalau kita hidup baik-baik, hidup dengan aman kita boleh capai kemajuan,” katanya sebagai panel Forum Bicara Perdana bertajuk ‘Berita Palsu negara’ baru-baru ini.

Menurutnya, ketegangan kaum yang menjadi salah satu kesan kepada penularan berita palsu juga menghalang kepada pembangunan negara yang mapan.

Ahli Panel, Datuk Kazim Elias (tengah) bersama Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Choo Chung Tiong (kiri) dan moderator, Khairul Anuar Saimun (kanan) menyampaikan ceramah pada Siri Jelajah SEBENARNYA.MY di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa, Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2018.

Kazim turut menceritakan pengalaman dan bukti kesan negatif berita palsu pada dua tahun lalu apabila beliau terkena serangan jantung tetapi didakwa sudah meninggal dunia.

“Inilah dia berita palsu. Kalau kita tidak berhati-hati orang lain pun orang boleh kata sudah meninggal, boleh buat macam-macam boleh ambil kepala saya badan orang lain, muka saya letak dekat badan orang lain. Kalau ikut media sosial saya sudah meninggal dua tahun lepas.

“Sebab itu berita palsu bukan perkara kecil, kesannya sangat besar, rumah tangga, keluarga boleh runtuh, boleh bergaduh suami isteri kalau dapat berita palsu negara apatah lagi. Bayangkan kalau pergaduhan hanya kerana satu berita palsu satu negara boleh bergaduh kerana berita palsu,” ujarnya. – MalaysiaGazette