Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.

Tambahnya, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Seramai 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan mereka mulai pukul 10 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024.

Selain itu, mereka boleh melakukan semakan secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

KPM berkata, sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi 27 Mei 2024 sehingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024. – MalaysiaGazette