KUALA LUMPUR – Seperti yang di jangka, keseluruhan warga DAP yang sentiasa lantang dan kuat melatah menuding jari menyebar fitnah terhadap Kerajaan Persekutuan akan mendiamkan diri seperti tunggul apabila membabitkan kepincangan dalam kalangan mereka terutamanya dinasti Lim anak beranak.

Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat begitu intim bersama  Datuk Seri G Gnanaraja, yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima suapan sebanyak RM19 juta daripada Zenith Consortium.

Walaupun seperti biasa, Guan Eng dengan pantas mengelak untuk menjawab pertanyaan wartawan berhubung dua rakaman gambar beliau bersama Gnanaraja di kediaman ahli perniagaan itu dan satu dalam kenderaan.

Sebelum ini, Guan Eng secara terang-terangan berbohong kononnya beliau tidak langsung mengenali suspek, sebaliknya beliau mempunyai ramai ‘peminat’ yang ingin bergambar dengan dirinya.

Tetapi adakah satu kebetulan apabila seorang ketua Menteri mengunjungi rumah Gnanaraja yang didakwa menerima rasuah jutaan ringgit bagi menutup kes pembinaan terowong dasar bawah tanah inisiatif Guan Eng sendiri?

Juga bolehkah ‘orang biasa’ atau ‘peminat’ sesuka hati bergambar dengan beliau secara intim dalam kenderaan yang dinaiki oleh seorang Ketua Menteri yang hebat seperti ‘Tokong’?

P. Ramasamy

Persoalan-soalan ini masih gagal di jawab oleh Guan Eng, selain daripada jawapan statik beliau semua ini terjadi kerana ‘agenda jahat’ kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari menyifatkan tindakan berdiam diri dan berdolak-dalih Guan Eng sebenarnya mempamerkan sikap ‘pengecut’ kerana sudah tidak boleh berdepan dengan kebenaran.

Sebaliknya, Vell Paari menyoal Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy yang turut sekali mengunci mulut dalam isu ini walaupun selama ini beliau sangat lantang menonjolkan dirinya beliau satu-satunya pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat terutamanya masyarakat India.

Jelas Vell Paari, Gnanaraja terlibat dengan skandal skim cepat kaya Venus FX dan penipuan membabitkan ribuan masyarakat India tahun lepas hingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM80 juta.

“Mengapakah Ramasamy yang sentiasa ‘terkinja-kinja’ memperjuangkan nasib masyarakat India kali ini hanya mendiamkan diri? Adakah kerana isu kali ini membabitkan ‘bos besar’ beliau sehingga terpaksa kunci mulut? Gambar pertama anda sudah ‘bela’ bos anda kononnya sesiapa pun boleh bergambar dengannya.

“Apa agaknya alasan yang boleh digunakan oleh Ramasamy dengan gambar terbaru Guan Eng dan Gnanaraja yang tersentum mesra dengan lelaki yang telah banyak memperdaya masyarakat India di negara ini?

“Sampai bila nak putar belit dan ‘lari’? Saya ingat anda perjuangkan kebenaran? Prinsip ketelusan cekap amanah adalah keutamaan kerajaan DAP Pulau Pinang? Apa sudah jadi?,” katanya kepada Malaysia Gazette sebentar tadi.

Tambah Vell Paari, seandainya gambar-gambar itu tidak betul dan telah dimanipulasi kerana agenda politik bos beliau, Ramasamy perlu membantu Guan Eng membat laporan polis dengan segera.

“Saya sangat pasti Ramasamy tidak mempunyai ‘kekuatan’ untuk menyoal bos Guan Eng apakah hubungan isimewanya dengan Gnanaraja yang mendakwanya kononnya dirinya sangat berkuasa dan memiliki pengaruh besar sehingga boleh menutup siasatan kes rasuah.

“Saya nasihatkan Ramasamy agar tidak berdiam diri, sebaliknya membuka mulut membela Guan Eng yang kini sudah tidak boleh lari dari kebenaran,” tegasnya.

Semalam, rakaman gambar kedua menunjukkan Guan Eng dan Gnanaraja yang kini menjaja dirinya sebagai pelakon paling popular di Malaysia dilihat menaiki kereta dipercayai milik Datuk Zarul Ahmad Zulkifli.

Kedua-dua mereka kelihatan rapat dengan gelak ketawa sambil merakamkan ‘selfie’ dalam kereta tersebut.

Pelbagai pihak melontarkan persoalan itu kepada Guan Eng namun sehingga ini belum ada pihak yang menjelaskan tentang gambar keduanya dengan Gnanaraja.

Peliknya, walaupun Gnanaraja berjaya menjaja dirinya berpengaruh dalam kalangan pemimpin BN, akhirnya terbongkar pula gambar-gambar intim beliau dengan Guan Eng. – MalaysiaGazette