Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2018.

KOTA BELUD – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa hak rakyat Sabah yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sambil mengulangi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu MA63, katanya, beliau menyokong dan mendukung agar mana-mana hak dalam perjanjian berkenaan yang terambil atau terlepas pandang dikembalikan kepada rakyat Sabah.

“Kita tahu, ada yang cuba mempromosikan ‘Sabah For Sabahan’, kononnya MA63 adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh pihak berkenaan. Tetapi, saya mewakili Perdana Menteri, saya mewakili BN akan memberi jaminan bahawa MA63 akan termasuk dalam manifesto (BN) dan hak orang Sabah akan pasti terus dipertahankan.

“Jangan ingat kerajaan BN tidak ambil peduali tentang MA63. Kerana kita yakin dan percaya dengan komitmen perdana menteri bahawa mana-mana dalam MA63 yang telah terambil ataupun terlepas pandang, pasti dan akan dirundingkan sebab tuntutan orang Sabah seperti tercatat dalam MA63 berhak untuk dipenuhi.

“Kalau itu menjadi isu, dan menjadi keprihatinan BN, apa lagi yang mahu mereka (pembangkang) bangkitkan,” tanya Ahmad Zahid. – Bernama