Muhammad Khalil Abdul Had
Muhammad Khalil Abdul Had

SHAH ALAM – Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mahu Menteri Besar Selangor tidak perlu merumitkan keadaan apabila menyekat peruntukan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pas di negeri itu.

Katanya lagi, isu itu tidak perlu dipolitikkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga parti itu terpaksa mengadu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Apa yang dilakukan oleh Azmin itu sepatutnya tidak berlaku begitu.

“Sepatutnya tidak dipolitikkan. Itu hak kepada ADUN bagi mendapatkan saluran dan salurkan kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media pada Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera di Shah Alam hari ini.

Hadir merasmikan dialog berkenaan adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Pengerusi Gagasan Sejahtera.

Turut hadir, Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan, Naib Presiden ABIM, Jufitri Johar.

Semalam ADUN Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman memberitahu, semua wakil rakyat Pas sudah mula mendapat peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan pimpinan Azmin.

Pertengahan Mac lalu, Pas Selangor mengesahkan telah menyerahkan satu surat rasmi kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengadu hal berkaitan sekatan peruntukan tahunan kepada wakil rakyatnya di negeri ini.

Surat berkenaan diserahkan Pesuruhjaya Pas Negeri, Sallehen Mukhyi.

Sebelum ini hangat dilaporkan kesemua ADUN Pas terpaksa menggunakan wang peribadi mereka untuk menjalankan program-program mesra rakyat hingga mencecah hampir RM700,000.

Untuk rekod, Pas mempunyai 13 ADUN dan tiga daripadanya adalah exco kerajaan negeri Selangor. -MalaysiaGazette.