M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan Kementerian Pendidikan meletakkan seorang guru sukan khas di setiap 523 buah sekolah Tamil di seluruh negara.

Timbalan menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, cadangan itu bertujuan melahirkan modal insan yang bertaraf antarabangsa dalam bidang sukan.

“Bagi menjadikan dasar 1Murid 1Sukan lebih relevan, kita perlukan guru sukan khas di setiap sekolah untuk membantu pelajar supaya arif dalam sukan, bukan sahaja daripada segi aktiviti tetapi juga mempunyai pengetahuan luas mengenai sukan.

Katanya, KBS bersedia memberi khidmat logistik dan latihan khas untuk para guru sekiranya pihak Kementerian Pendidikan bersedia mengenal pasti guru-guru sukan khas tersebut.

Dalam pada itu, sebanyak 15 sekolah Tamil di Wilayah Persekutuan menerima bantuan peralatan sukan melalui program bantuan anjuran Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan dengan kerjasama KBS.

Ketua Biro berkenaan Andrew David berkata pihaknya mendapati pelajar sekolah Tamil agak terpinggir dalam bidang sukan dan melalui inisiatif itu diharap dapat membantu mereka menanam semangat kesukanan di samping berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Ini merupakan projek perintis dan akan diperluas ke negeri-negeri lain. Diharapkan pemimpin di negeri-negeri lain akan menyokong program ini dan menyumbangkan peralatan sukan,” katanya.

David berkata sumbangan bagi setiap sekolah bernilai kira-kira RM1,300 dan disumbangkan oleh orang persendirian.

SJKT yang terlibat ialah SJKT Appar, SJKT Cheras, SJKT Jalan Bangsar, SJKT Jalan Fletcher, SJKT Jalan San Peng, SJKT Kampung Pandan, SJKT Ladang Bukit Jalil, SJKT Ladang Edinburgh, SJKT Saraswathy, SJKT Segambut, SJKT Sentul, SJKT St.Joseph, SJKT Sungai Besi, SJKT Thamboosamy Pillai dan SJKT Vivekananda. – MalaysiaGazette