Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal dalam permohonannya mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang didakwa mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan di dalam Sinar Online, pada 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini menolak permohonan Mukhriz dengan alasan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ab Aziz berhubung prosiding kes saman fitnah antara Mukhriz dengan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad tidak memberikan tekanan kepada mahkamah.

“Walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh Ab Aziz merujuk kepada prosiding ini (kes saman Mukhriz terhadap Tengku Sariffuddin) tetapi kenyataan itu tidak mendatangkan tekanan kepada mahkamah. Ia adalah kesinambungan pertelingkahan politik antara pihak-pihak,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata secara prinsipnya memang terdapat tindakan yang subjudis kerana kenyataan yang dikeluarkan merujuk kepada suatu prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mempunyai kaitan dengan tuntutan plaintif (Mukhriz) terhadap defendan (Tengku Sarifuddin) dalam kes ini, kenyataan itu tidak memberi kesan kepada keputusan mahkamah, ia lebih kepada acara sampingan,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Pada 18 Julai 2017, Mukhriz memfailkan permohonan ex-parte terhadap Ab Aziz atas dakwaan mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan di dalam Sinar Online pada 15 Julai 2017 membabitkan perbicaraan saman fitnah difailkan Mukhriz terhadap Tengku Sarifuddin, yang didakwa menghina mahkamah.

Dalam permohonan itu, Mukhriz, 52, mendakwa kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes saman berkenaan pada 13 dan 14 Julai 2017.

Mukhriz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, manakala peguam Cheyenne Chan bertindak bagi pihak Ab Aziz. – BERNAMA