LUMUT – Seramai 250 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Pangkor dan Pasir Bogak yang ditubuhkan sejak 15 tahun di Pulau Pangkor itu mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Ahad lalu selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan PKR Cabang Lumut.

Kesemua mereka meninggalkan parti itu dan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu iaitu Pertubuhan Anbudamai bagi menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Bekas Ketua Ranting PKR Pangkor, V.Subramaniam berkata kesemua anggota telah menyerahkan borang keluar parti di pejabat PKR Cabang Lumut, Ahad lalu selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR dalam menjaga kebajikan masyarakat tempatan khususnya di Pulau Pangkor.

Subramaniam berkata mereka juga kecewa dengan tindakan kepimpinan PKR terutama anggota Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid, yang jarang sekali turun ke Pulau Pangkor dan mengambil tahu mengenai masalah masyarakat setempat.

“Kami kecewa dan tersilap kerana memberi sokongan kepada dia (Imran) tetapi tidak menyokong calon tempatan iaitu Menteri Besar yang selalu membantu masyarakat di Pulau Pangkor.-BERNAMA