Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V membaca titah pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijangka mengutip hasil tahunan diantara RM117 juta hingga RM150 juta bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, jangkaan peningkatan hasil itu didorong oleh peningkatan jumlah penerbangan dan jenis pesawat yang menggunakan ruang udara Malaysia selain permohonan lesen penerbangan.

“Bagi komposisi modal manusia di CAAM, seramai 995 orang kakitangan asal Jabatan Penerbangan Awam (DCA – sehingga 13 Februari 2018) menerima opsyen pertukaran pelantikan dan hanya empat orang yang menolak tawaran opsyen itu.

“DCA diubah kepada CAAM (berkuatkuasa 14 Februari 2018) adalah bertujuan membuat penambahbaikan dalam pengrusan sistem penerbangan awam di dalam negara ini untuk menjamin keselamatan mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan,” katanya semasa sesi Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau menjawab soalan lisan Jeff Ooi (DAP-Jelutong) yang meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan anggaran hasil tahunan yang bakal dikutip sesudah perintah penukaran DCA kepada CAAM diwartakan pada 14 Februari 2018.

Beliau turut mengutarakan soalan bagaimana komposisi modal insan manusia di CAAM selepas tarikh penamat penyerahan kertas opsyen bagi kakitangan DCA yang asal.

Ab Aziz berkata, DCA telah mengalami kekurangan kakitangan, sebagai contoh juruterbang tidak bersedia bekerja di bawah DCA dengan gaji yang rendah iaitu kira-kira RM20,000 sebulan berbanding syarikat swasta menawarkan gaji bulanan maksimum RM40,000.

Katanya, faktor itu mendorong kerajaan mengubah DCA kepada CAAM supaya ia relevan dengan perkembangan industri penerbangan dalam negara.

“Kita juga menambah modal insan supaya perubahan itu memastikan operasi mengawal selia penerbangan udara dikendalikan oleh kakitangan mencukupi dan cekap.

“Keduanya kita juga mahu memperbaiki bayaran menggunakan ruang udara selama 40 tahun ini. Kalau tahun 70-an sebagai contoh setiap batu nautika dikenakan caj 20 sen berbanding bermula tahun 2016 ia dinaikkan kepada 40 sen setiap batu nautika.

“Langkah ini juga untuk menampung kos penyelenggaraan radar navigasi dengan peningkatan pernerbangan sekarang penerbangan bolah dikatakan hampir meningkat setiap tahun antara 3 hingga 5 peratus dengan mengambil berat keselamatan,” katanya. – MalaysiaGazette