Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kajian Semula Persempadanan kawasan pilihan raya yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini belum lengkap dan dilakukan pada waktu yang tidak sesuai.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengenalpasti lima perbezaan ketara pada kajian semula persempadanan semula berbanding kajian semula yang dilaksanakan sebelum ini sejak tahun 1974.

“Usul persempadanan semula yang dibentangkan hari ini mengekang waktu berbahas selama 10 minit sahaja atau suku hari sahaja berbanding tahun 2003 di mana tempoh bahas dari 7 April hingga 8 April dan pilihan raya diadakan setahun kemudian.

“Malah kali terakhir persempadanan terakhir jumlah pengundi lebih 8,347,107, tetapi meningkat 36 peratus menjadi 11.3 juta (pengundi).

“Dalam laporan persempadanan sebelum ini kita ada penambahan kerusi iaitu (pada) 1974 (10 kerusi Parlimen) ditambah, 19 kerusi (pada) 1984, 12 kerusi pada 1994 dan 21 kerusi pada 2003 dan diluluskan.

“Kerajaan memerintah memberi alasan tiada majoriti dua pertiga, tapi bila sudah tiba masanya sekarang kerajaan pasti boleh menyokong dan pembangkang juga akan bersetuju jika penambahan dibuat,” katanya semasa membahaskan usul kajian semula persempadanan di Parlimen hari ini.

RUU itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 12 tengah hari tadi  sebelum perbahasannya dibuka kepada enam Ahli Parlimen Barisan Nasional dan lima Ahli Parlimen pembangkang dengan tempoh 10 minit diberikan setiap seorang.

Dalam pada itu, Takiyuddin menyatakan kebimbangan wujud ketidakseimbangan antara penduduk, pengundi dan bilangan kerusi Parlimen di beberapa negeri antaranya Terengganu dan Kelantan yang tidak terdapat penambahan kerusi antara 1984 hingga 1994.

Ujarnya, ketidakseimbangan itu dilihat berlaku di kawasan Parlimen luar bandar dan ia akan menjejaskan keberkesanan wakil rakyat kawasan terbabit dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kalau di kawasan bandar yang maju, wakil rakyat mempunyai alasan bahawa perkembangan pengangkutan, infrastruktur dan telekomunikasi yang lancar tetapi ia tidak digunapakai untuk luar bandar seperti Baling, Kuala Kedah dan sebagainya yang tidak diseimbangkan pengundinya menerusi penambahan kerusi,” tegasnya. – MalaysiaGazette