Beberapa peserta Bersih kelihatan membawa sepanduk berhimpunan menentang usul persempadanan semula Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semasa demonstrasi jalanan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 orang penyokong Bersih 2.0 diketuai pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Sari berkumpul di kawasan Tugu Negara sebagai tindakan membantah Pembentangan persempadanan semula di Parlimen hari ini.

Mereka berkumpul di kawasan itu sejak pukul 8 pagi ini merancang menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai desakan bagi menarik balik pembentangan usul Laporan Kajian Persempadanan Semula.

Turut hadir bekas pengerusinya, Maria Chin Abdullah, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang merancang menghalang niat Bersih itu tidak kelihatqn di kawasan Parlimen sehingga jam 10 pagi tadi.

Lebih 200 anggota polis termasuk Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di luar kawasan Parlimen dan laluan masuk ke Tugu Negara bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Laporan Kajian Persempadanan Semula akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.