Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang merendahkan dirinya sebagai ahli politik kerana gagal menggalakkan anaknya menerima cabaran berdebat mengenai skandal terowong Pulau Pinang yang disuarakan oleh pemimpin MCA, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Malah beliau menyifatkan cara Kit Siang mempertahankan anaknya Lim Guan Eng dengan mencabar Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bertanding di Pulau Pinang sebagai tidak wajar.

“Sebagai seorang ahli politik yang menggambarkan dirinya sebagai anti rasuah dan menyokong ketelusan, jawapan dari Kit Siang terhadap Ka Siong amat mengecewakan.

“Melalui sekurang-kurangnya enam kenyataan dalam tempoh beberapa minggu ini, Kit Siang memperlekeh dakwaan Ka Siong dan menggelarnya dengan pelbagai nama seperti kaki kucing dan pembunuh ninja.

“Beliau yang sepatutnya menggesa anaknya mempertahankan diri terhadap pendedahan dibuat Ka Siong, Kit Siang hanya menafikan angka RM20.5 bilion itu tanpa sebarang penjelasan atau asas kepada penafiannya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Untuk rekod, baru-baru ini, Ka Siong dalam kenyataannya pada 5 Januari lalu mencabar Guan Eng untuk berdebat mengenai isu terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Presiden MCA itu mencadangkan debat tersebut berikutan pendedahan yang dilakukan oleh kontraktor projek terowong, Zenith Consortium Sdn Bhd, telah melakukan pembayaran sebanyak RM22 juta kepada dua orang individu sebagai rasuah untuk menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek mega berkenaan.

Walau bagaimanapun cabaran debat itu ditolak mentah-mentah oleh Guan Eng dan memberitahu beliau tidak akan merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005 itu untuk berdebat dengan Ka Siong yang merupakan pemimpin nombor dua MCA . – MalaysiaGazette