Dr Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Amanah Negara (PAN), Hanipa Maidin disifatkan membahayakan akidah dan perlu bertaubat, kata Datuk Mohd Asri Zainul Abidin,

Mohamed Hanipa Maidin

Mufti Perlis itu mengulas kenyataan Hanipa semasa sidang Dewan Rakyat semalam yang mengungkapkan kata ‘jika saya tuhan’ adalah suatu tindakan yang menyentuh isu ketuhanan sehingga boleh menjejaskan akidah seseorang muslim tersebut.

“Ungkapan `jika saya Tuhan, saya akan lakukan begini…’, secara langsung dan tidak langsung merendahkan penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-Nya.

“Ini sangat bahaya kepada akidah jika yang mengungkapnya sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu,” kata beliau menerusi kenyataan dalam akaun Facebooknya.

Hanipa semasa insiden Khamis di Dewan Rakyat gagal mengawal emosi selepas bertegang urat dengan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Insiden itu menyaksikan Hanipa terlepas cakap dengan mengeluarkan kata tidak sepatutnya mencerminkan imej seorang muslim, tambah-tambah lagi beliau merupakan seorang Ahli Parlimen beragama Islam.

Bagaimanapun, Hanipa dalam satu kenyataan terbaharunya menegaskan beliau tidak akan menarik balik ungkapannya.

“Saya sedar ada pihak agama tertentu mengkritik saya dan menyatakan kenyataan saya bercanggah dengan akidah.

“Tapi saya mohon maaf kerana tidak akan tarik balik kenyataan saya terbabit. Ada juga minta saya bertaubat dan istighfar. Terima kasih kerana ingatkan saya,” beliau dipetik berkata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast