Johari Baharom

MUAR – Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata beliau ‘tak ketaq’ atau gentar untuk menghadapi Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya bekas perdana menteri itu mahu bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya beliau amat mengenali Mahathir kerana pernah menjadi setiausaha politiknya dan beliau melihat bekas perdana menteri itu hanya ‘biasa-biasa’ sahaja.

“Tak ketaq (hadapi Dr Mahathir), dahulu beliau kuat, nampak hebat kerana UMNO yang menyokong dan mengangkat beliau, yang kuat dan hebat itu adalah UMNO. Sekarang beliau sudah di seberang dengan parti lain (pembangkang) yang tiada rekod baik dan UMNO masih kuat dan hebat.

“Tanpa UMNO dan jasa pemimpin UMNO yang terdahulu, beliau biasa sahaja,” kata Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 147 veteran Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

Mahathir merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu sejak PRU4 pada 1974 dan berkhidmat di kawasan itu sehingga 2004, apabila pada PRU11 pada tahun itu Mohd Johari menggantikan Dr Mahathir bertanding di kawasan itu dan mempertahankan kawasan itu pada PRU12 dan PRU13.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast