Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Gombak, Mohd Azimin Muhamad (duduk tengah) bersama ahli lain menunjukkan gambar Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya yang didakwa menghantar dokumen kepada ROS pada sidang media mengenai kandungan penyerahan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Hotel Adamson, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor hari ini tampil mempertikaikan kandungan dokumen yang dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) baru-baru ini.

Menurut salah seorang ahli parti itu, Mohd Azimin Muhamad mendakwa berkemungkinan besar laporan yang mengandungi perincian mesyuarat cawangan dan bahagian parti tersebut adalah palsu.

Jelasnya, ini kerana parti tersebut tidak pernah mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian mahupun cawangan semenjak ditubuhkan sehingga kini.

“Kami terkejut kerana jika laporan kewangan mungkin kami tidak pasti tapi kalau laporan mesyuarat cawangan serta mesyuarat bahagian itu kami sangat tahu.

“Mana ada mesyuarat di cawangan-cawangan. Mana ada mesyuarat di bahagian-bahagian,” katanya ketika sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota sebentar tadi.

Bukan hanya di Selangor, tambahnya, ahli parti di negeri-negeri lain turut mengesahkan bahawa tiada mesyuarat yang dianjurkan sebelum ini.

“Malah kami hubungi kawan-kawan kami di Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan mereka juga menyatakan yang mereka tidak pernah hadir dalam mana-mana mesyuarat PPBM.

“Jadi laporan apa yang dihantar kepada RoS?,”katanya.

Justeru Mohd Azmini percaya parti itu cuba menipu RoS dan dalam masa sama memanipulasi ahli-ahlinya.

“Saya percaya bahawa ini satu bentuk penipuan bukan sahaja pada RoS malah juga satu pengkhianatan kepada ahli seluruh negara,” ujar ahli PPBM daripada Gombak itu.

Turut hadir ahli-ahli PPBM daripada Shah Alam, Tanjong Karang dan Sepang.

Pada 28 Febuari, Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya dilaporkan menyerahkan dokumen lengkap seperti yang diarahkan RoS sebelum ini.

Penyerahan dokumen itu dirakam menerusi video yang berdurasi 1 minit tersebar di laman sosial.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=HDplpnnq1_c]

Mohd Azimin dan rakan ahli yang tidak puas hati dalam masa yang sama menggesa Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Suhaimi memberi penjelasan tentang perkara ini.

“Jika ini satu pembohongan sudah tentu RoS akan mengambil tindakan yang serius terhadap PPBM kelak dan jika ini terjadi adakah kami ahli akan jadi peminta sedekah kepada parti-parti lain? Kami bukan peminta sedekah!,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Azimin memaklumkan akan membuat laporan polis pada Selasa ini untuk menggesa siasatan dilakukan terhadap penipuan yang dilakukan oleh PPBM. – MalaysiaGazette