Presiden Veteran UMNO Rompin, Datuk Abd Rahim Ibrahim bercakap semasa ditemubual di Rompin Beach Resort, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2018.

ROMPIN – Suara menolak penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain nampaknya semakin hebat menjelang PRU-14 ini.

Malah Presiden Veteran UMNO kawasan itu, Datuk Abd Rahim Ibrahim bersedia untuk menggerakkan kempen untuk menolak Johari sekiranya beliau masih dinamakan sebagai calon Barisan Nasional kali ini.

“Kalau dia masih jadi calon DUN Tioman, saya tidak akan sokong dan akan jalankan kempen untuk tolak dan jangan undi BN. Selagi tidak dia, kami akan undi calon lain.

“Saya sedia untuk berkempen untuk pengundi tolak dia semasa PRU akan datang,” katanya kepada Malaysia Gazette semalam.

Isu penolakan Johari sebagai calon DUN Tioman muncul apabila terdapat beberapa kain rentang di kawasan itu yang jelas menolak beliau kembali sebagai calon.

“Kami pengundi DUN Tioman menolak sekeras-kerasnya kepimpinan Johari Hussain sebagai calon PRU-14.

“Pilih Johari rakyat Rompin derita. Buang Johari rakyat bahagia. Datuk Johari pengkhianat kepada pengundi Tioman,” demikian tulis kain rentang berkenaan.

Ulas Abd Rahim lagi, Johari didapati gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pengundi Tioman terutamanya melibatkan kelulusan tanah peneroka di beberapa kampung di kawasan itu.

“Saya tidak kisah kalau DUN Tioman ini jatuh ke tangan pembangkang, kalau dia masih jadi calon biar dapat kepada pembangkang pun tidak apa.

“Kita nak tengok DUN Rompin ini sekali di bawah pembangkang, kalau nak jadi calon BN kena betul-betul buat kerja, jangan ambil kepentingan diri sahaja,” kata Abd Rahim lagi.

Malah katanya, ramai pengundi di peringkat akar umbi datang bertemunya yang rata-rata kecewa dengan khidmat yang ditawarkan Johari selama ini.

“Kita akan hantar memorandum kepada Pengerusi BN sekiranya dia dicalonkan semula untuk jadi calon DUN Tioman.

“Kalau nama Johari diletakkan sebagai calon, kita akan lancarkan kempen tolak dia semasa PRU-14 nanti,” katanya lagi.

Johari dalam kenyataan balas mengenai dakwaan terhadapnya semalam berkata dakwaan yang dilemparkan kepadanya oleh beberapa kepimpinan UMNO cawangan adalah satu fitnah daripada individu kecewa.

Jelasnya lagi, perkara itu timbul kerana PRU-14 semakin hampir dan terdapat individu lain yang cuba melobi untuk menaikkan calon pilihan mereka di DUN berkenaan. -MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/blog/2018/03/19/pengundi-dun-tioman-tolak-johari-hussain/