KUALA LUMPUR – Malaysia berpesta gol ke atas Bhutan apabila menjinakkan pasukan itu 7-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan ke atas pasukan kerdil itu sekaligus membantu skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan sejak tahun 2016.

Bagi Harimau Malaya ia merupakan kemenangan julung kali selepas mengharungi 12 aksi sejak dua tahun lalu dengan kekalahan dan seri dengan lawan.

Gol pertama Malaysia hadir menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-11 sebelum skuad kendalian Tan Cheng Hoe terus mengaum dengan berpesta gol ke atas pelawat kendalian Trevor Morgan.

Kapten pasukan, Zaquan Adha membuka gol kedua pada minit ke-19, diikuti Irfan Zakaria membuka jaringan ketiga negara pada minit ke-27.

Tidak terhenti setakat itu, skuad Harimau Malaya terus menunjukkan belangnya ke atas skuad Dragon Boys dengan gol hatrik oleh Zaquan pada minit ke-36, 40 dan 54.

Sepanjang perlawanan, Skuad Bhutan langsung tidak mengancam Harimau Malaya apabila penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat terus selesa.

Pemain gantian Syafiq Ahmad pula menambah derita Bhutan dengan berjaya membuka gol ketujuh pada minit ke-74.

Dalam perlawanan menentang Mongolia pada 22 Mac lalu, skuad kebangsaan hanya mampu mencatat keputusan terikat seri 2-2.

Bagaimanapun pada Selasa lalu, skuad kendalian Cheng Hoe itu tersungkur 1-2 kepada Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

Kali terakhir Harimau Malaya menang ialah mengalahkan Kemboja 3-2 dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki, Yangon, Myanmar pada 20 November 2016.

Malaysia ketika ini menghuni tempat ke-175 dalam rangking dunia manakala Bhutan di tangga 188.

Kekuatan skuad Malaysia masih belum boleh dikatakan terbaik dengan mengambil kira keputusan semasa malam ini menentang pasukan ‘kerdil’ dalam bola sepak.

Keupayaan sebenar mereka hanya akan teruji ketika mereka bertembung dengan pasukan yang berada dalam rangking lebih baik daripada mereka, khususnya Singapura dan Thailand.-MalaysiaGazette